HANG JEBAT KESIANGAN DI ISTANA
Hang Jebat telah mengamuk di dalam
istana raja. Ini menyebabkan Sultan dan permaisuri terpaksa melarikan diri.
Bila tiada seorangpun hulubalang yang dapat membunuh Hang Jebat itu, raja mula
terkenangkan Hang Tuah. Bila keadaan mengizinkan, Seri Nara Diraja
pun menyembah dan memberitahu bahawa Hang Tuah masih hidup di Hulu Melaka. Lalu
Hang Tuah disuruh ambilkan. Dia diampuni dan disuruh membuang arang di muka
raja.
Pertarungan Hang Tuah – Hang
Jebat.
Hang Tuah dengan segera ke istana
bertikam dengan Hang Jebat. Dua tiga kali kerisnya terlekat di dinding dan
tiang. Dibenarkan oleh Hang Jebat untuk dicabut semula. Sekali keris Hang Jebat
terlekat, terus dia ditikam oleh Hang Tuah. Dengan tikaman kedua, Hang Jebatpun
meninggal dunia. Mayat Hang Jebat dibuang ke laut. Anak isterinya diumbut.
Rumahnya juga dibuang ke laut. Istana tempat Hang Jebat mati itu tidak lagi
mahu diduduki. Istana baru minta diperbuatkan. Istana baru sangat hebat.
Mempunyai 17 ruang dengan 40 buanh pintu berukir. Istana dinamakan orang “Mahligai
Hawa Nafsu”.
Pangkat laksamana dikembalikan
semula kepada laksamana. Dia didudukkan sama taraf dengan Seri Bija Diraja dan
dibenarkan memikul pedang kerajaan. Seri Bija Diraja pula diberikan daerah
Sening Ujung.
Istana Sultan Mansur Syah
Terbakar.
Dengan takdir Allah taala, istana
yang baru siap itu telah terbakar. Bagaimanapun banyak harta dapat
diselamatkan. Akibat peristiwa ini, ramai pula orang-orang muda yang menerima
anugerah raja kerana menyelamatkan harta raja. Sebuah istana baru pula diminta
siapkan dalam masa sebulan. Bendahara telah membahagikan kerja-kerja membina
istana ini kepada pembesar-pembesar jajahannya. Dengan itu istana baru berjaya
disiapkan. Bahkan lebih baik dari istana yang terbakar itu.
Ramalan Bendahara Paduka Raja.
Seri Nara Diraja telah jatuh sakit.
Dia memanggil Paduka Raja memintakan Paduka Raja menguruskan anak-anaknya yang
masih kecil. Lagipun mereka itu adalah anak-anak saudara Paduka Raja sendiri.
Emas sebanyak 5 buah candu peti diminta bahagi-bahagikan antara mereka.
Anak-anak SND itupun pindahlah ke rumah Paduka Raja. Pada Satu waktu subuh,
Bendahara telah melihat ada cahaya yang terpancar dari kepala Tun
Mutahir ke langit. Bendahara meramalkan bahawa Tun Mutahir akan dapat menjadi
orang besar. Bahkan lebih dari dirinya tetapi kebesaran itu tidak kekal lama.
Bila Tun Tahir dan Tun Mutahir
besar, mereka telah meminta emas yang ditinggalkan oleh ayahnya. Bendahara
tidak memberinya. Sebaliknya mereka diberikan 10 tahil emas untuk dibuat
berniaga. Setelah cukup setahun, kedua mereka itu datang untuk membayar hutang.
Ini membuktikan yang mereka mampu menguruskan harta. Lalu emas itu dan semua
emas yang disimpan diberikan kepada mereka. Tun Tahir telah dilantik menjadi
Bendahari menggantikan bapanya dan bergelar Seri Nara Diraja, Tun Mutahir
dijadikan Temenggung dan bergelar Ser Maharaja. Tun Abdullah pula diberi gelar
Seri Nara Wangsa.
Akibat Tiada Menyembah Ke
Melaka.
Pemerintah Kampar yang bernama
Maharaja Jaya tidak menyembah ke Melaka. Jadi Sultan Mansurpun menitahkan satu
angkatan pergi menyerang ke Kampar dengan diketuai oleh Seri Nara Diraja.
Dibantu oleh Khoja Baba. Mereka telah berjaya mengalahkan Kampar. Maharaja Jaya
dan mangkubuminya yang bernama Tun Demang telah terbunuh. Negeri Kampar
diserahkan kepada Seri Nara Diraja dan dia telah melantik seorang adipatinya ke
sana.
Sesudah Kampar, Siak Pula.
Pemerintah Negeri Siak bernama
Maharaja Parameswara juga tidak mahu menyembah ke Melaka. Sultan Mansur
memerintahkan Seri Udana untuk menyerang Siak bersama angkatannya. Mereka telah
berjaya membunh Maharaja Parameswara. Anaknya yang bernama Megat Kudu dan Tun
Jana Pakibul ditawan dan di bawa balik ke Melaka. Megat Kudu telah dikahwinkan
oleh Sultan Mansur dengan puterinya yang bernama Raja Mahadewi. Dia dirajakan
semula di Siak dengan gelaran Sultan Ibrahim. Tun Jana dilantik sebagai
Mangkubuminya.
Ditolak Bumi Melaka.
Raja Muhammad yang bakal
menggantikan ayahnya Sultan Mansur telah menyebabkan Tun Besar, anak Paduka
Raja meninggal dunia. Anak-anak buah Paduka Raja mahu menderhaka untuk membalas
dendam. Bendahara menentang hasrat tersebut tetapi bersumpah tidak mahu
berajakan Raja Muhamad. Akibatnya Sultan Mansur telah menghantar Raja
Muhammad untuk beraja di Pahang. Bergelar Sultan Muhammad Syah. Raja Muhammad
telah berkahwin dengan Mengindera Puteri, cucu Sultan Iskandar, Sultan
Kelantan. Mendapat tiga orang anak iaitu Raja Ahmad, Raja Jamil dan Raja
Mahmud.
Juara Catur.
Ialah Tun Bahara, orang pasai yang
datang ke Melaka. Tiada siapa yang dapat menandinginya. Bermain tanpa berfikir,
sambil bersyair, berbait, bergurindam dan berseloka. Cuma yang dapat sedikit
menandinginya ialah Tun Pikrama, anak Bendahara Paduka Raja.
Disuruh Merompak Ke Ujung Tanah.
Raja di negeri Meluluki, Makasar
bernama Keraeng Majiko beristerikan anak Keraeng di Tandering Jikamak tujuh
saudara. Anak dari puteri yang tua bernama Semerluki. Apabila dewasa, Semerluki
telah berahikan emak saudaranya yang bongsu. Ayahnya mengetahui hasrat
Semerluki itu dan menyuruhnya pergi merompak ke Ujung Tanah (wilayah Melaka)
untuk mendapatkan perempuan-perempuan yang cantik. Jadi Semerluki telah pergi
merompak ke pulau Jawa, wilayah taklukan Siam, Melaka dan juga Pasai. Di Melaka
dia ditentang oleh angkatan Laksamana Hang Tuah dan di Pasai oleh Orang Kaya
Kenayan. Jawa dan Siam berjaya dialahkannya tetapi dia gagal di Melaka dan juga
Pasai.
Kitab Duri’l Mazlum.
Maulana Abu Ishak adalah seorang
ulama tasawuf di Mekah. Beliau mengarang kitab Duri’l Mazlum. Beliau telah
menyuruh anak muridnya yang bernama Maulana Abu Bakar supaya menyebarkan isi
kitab itu ke Melaka. Di Melaka, Maulana Abu Bakar dimuliakan oleh Sultan Mansur
yang turut berguru dengannya. Kadi Melaka iaitu Kadi Yusuf pada mulanya tidak
mahu berguru dengan Maulana Abu Bakar tetapi selepas dia terpandangkan maulana
itu yang dipenuhi cahaya seperti sumbu dian, maka diapun turut berguru sama.
Malah dia telah meletak jawatan kadi dan digantikan anaknya Kadi Munawar.
Orang-orang Melaka dan Pasai pada
masa itu sangat minat untuk belajar ilmu agama. Kitab Duri’l Mazlum dapat
diberikan makna (terjemahan) oleh Makhdum Patakan, orang Pasai. Sultan Mansur
juga pernah bertanyakan kemusykilan agama kepada Makhdum Mua di Pasai
itu.Tentang kekal atau tidaknya penghuni Syurga dan Neraka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan