MITOS, sebagaimana
yang diketahui umum, adalah suatu unsur dongeng atau kejadian luar biasa yang
tidak dapat diterima logik akal tetapi diketengahkan sebagai suatu peristiwa
yang benar-benar terjadi. Peristiwa yang berlaku itu sama ada yang berlegar di
sekitar kehidupan manusia, haiwan, ataupun alam semesta - kelihatan pelik,
janggal, dan melampaui lumrah alam. Walau bagaimanapun, penilaian terhadap
ketakwajaran unsur mitos itu adalah mengikut acuan zaman moden sedangkan
pemilik unsur tersebut, yakni masyarakat silam, meyakini bahawa mitos tersebut
memang benar-benar berlaku.
Dalam konteks
Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, unsur mitos merupakan sebahagian daripada
ciri yang signifikan, terutama pada bahagian awal teks tersebut. Kewujudan
unsur mitos dalam teks tersebut berkait rapat dengan realiti kehidupan
masyarakat Melayu pada zaman itu yang masih berada dalam lingkungan pengaruh
Hindu dan animisme yang kuat.
CIRI-CIRI MITOS
1. Mitos dianggap
sebagai kejadian atau peristiwa yang benarbenar berlaku - cerita mitos
dianggap benar-benar berlaku pada zaman silam. Keyakinan tersebut,
sesetengahnya, telah membentuk sistem nilai mereka dan seterusnya diwarisi dari
satu generasi ke satu generasi. Mitos berbeza daripada unsurunsur dongeng.
2. Mitos dianggap
suci - kesucian ini terbit kerana mitos kaya dengan unsur-unsur kedewaan yang
diyakini oleh masyarakat Melayu pada zaman silam. Kepercayaan tersebut
terbentuk sebagai hasil daripada pengaruh animisme dan ajaran agama Hindu.
3. Mitos kaya
dengan unsur-unsur alam ghaib - keyakinan masyarakat Melayu zaman silam
terhadap kewujudan alam ghaib sangat tebal. Mereka percaya bahawa sesuatu yang
ghaib itu, seperti kewujudan kuasa makhluk-makhluk halus (jin, syaitan,
penunggu, puaka) dan alam kayangan atau alam dewa dewi dapat mempengaruhi
kehidupan mereka. Malah, dalam konteks alam kayangan, masyarakat Melayu pada
zaman itu yakin bahawa mereka dapat Baling berhubungan (bersahabat atau
berseteru) antara satu sama lain.
4. Mitos kaya
dengan peristiwa atau kejadian yang luar biasa, ganjil, dan aneh - masyarakat
Melayu zaman silam mempercayai bahawa setiap kejadian luar biasa, ganjil, atau
aneh mempunyai tujuan-tujuan atau alamat-alamat yang tertentu. Hal ini berlaku
sebagai hasil daripada keakraban hubungan masyarakat Melayu dengan flora dan
fauna di sekeliling mereka.
JENIS-JENIS MITOS
Mitos dalam
Sulalatus Salatin Sejarah Melayu dapat dibahagikan kepada empat jenis, iaitu:
1 mitos asal usul
raja;
2 mitos pembukaan
negeri;
3 mitos kedatangan
Islam; dan
4 mitos-mitos
lain.
Mitos Asal Usul
Raja
Sulalatus Salatin
Sejarah Melayu, dalam upaya hendak meningkatkan martabat dan kedudukan
raja-raja Melayu, khususnya raja Melaka, telah mengaitkan bahawa raja-raja
tersebut berasal usul daripada keturunan Raja Iskandar ZulKarnain, Nabi
Sulaiman, clan Nusyirwan Adil. Pertalian ini bermula apabila Raja Suran (cucu
Raja Sulan) telah masuk ke dasar laut dan berkahwin dengan Puteri
Mahtabu'l-Bahri dari negeri Dika. Perkahwinan tersebut telah menghasilkan tiga
orang putera - Nila Pahlawan, Krisyna Pandita, dan Nila Utama. Ketiga-tiga
putera ini telah naik ke bumi dan mendarat di Bukit Si Guntang, Palembang.
Keistimewaan dan keluarbiasaan yang dimiliki mereka telah membolehkan mereka
menjadi raja - Nila Pahlawan menjadi raja di Minangkabau; Krisyna Pandita
menjadi raja di Tanjung Pura; Nila Utama pula menjadi raja di Palembang dan
seterusnya di Temasek dengan gelaran Seri Teri Buana. Seri Teri Buanalah yang
kemudiannya mengembangkan keturunan raja-raja Melaka.
Mitos Pembukaan
Negeri
Sulalatus Salatin
Sejarah Melayu banyak juga mengetengahkan mitos yang berkaitan dengan pembukaan
sesebuah negeri. Dalam hal memilih dan memberikan nama negeri ini, penamaan
tersebut dibuat berdasar kepada keyakinan para raja terhadap sesuatu keganjilan
dan kejadian luar biasa yang pada pandangan mereka akan mendatangkan keberuntungan
kepada negeri tersebut. Antaranya termasuklah:
1. Pembukaan
negeri Singapura yang dikaitkan dengan peristiwa kemunculan seekor binatang
yang bernama “Singa”
2. Pembukaan
negeri Melaka yang dikaitkan dengan peristiwa seekor pelanduk putih yang telah mengalahkan
anjing;
3. Pembukaan
Semundra yang dikaitkan dengan peristiwa Merah Silu bertemu dengan seekor semut
besar seperti kucing.
4. Pembukaan Pasai
yang dikaitkan dengan peristiwa anjing Sultan Maliku's-Salleh yang bernama si
Pasai menyalak di suatu kawasan tanah tinggi.
Mitos Kedatangan
Islam
Sebagaimana mitos
asal usul, tujuan mitos kedatangan Islam ini diselitkan dalam Sulalatus Salatin
Sejarah Melayu adalah untuk mengangkat darjat raja-raja Melayu. Ada dua
peristiwa yang memerihalkan mitos kedatangan Islam ini, iaitu:
1. kedatangan
Islam di Semundra yang dikaitkan dengan peristiwa Merah Silu bermimpi bertemu
dengan Nabi Muhammad s. a. w. Dalam mimpi itu, Nabi Muhammad s. a. w. telah
meludah ke dalam mulut Merah Silu dan sebagai hasilnya, Merah Silu dapat
mengaji pada keesokan harinya manakala tubuhnya pula berbau narawastu.
2. kedatangan
Islam di Melaka yang dikaitkan dengan peristiwa Raja Kecil Besar (Sultan
Muhammad Syah) telah diislamkan oleh Nabi Muhammad s. a. w. melalui mimpi.
Dalam mimpi itu, dikatakan bahawa Raja Kecil Besar telah diajar mengucap dua
kalimah syahadat, dikhatankan, dan diberi nama Islam. Keesokannya, semua yang
dimimpikan oleh baginda menjadi kenyataan dan tubuh baginda turut berbau
narawastu.
Mitos-mitos Lain
Dalam teks Sulalatus
Salatin Sejarah Melayu, terdapat beberapa peristiwa berunsur mitos yang ditulis
untuk tujuan yang khusus. Antaranya termasuklah untuk menggambarkan kepercayaan
sesuatu anggota masyarakat ataupun untuk mengkritik raja secara halus. Yang
berikut adalah antara beberapa contoh mitos tersebut :
1. Peristiwa
Badang menjadi gagah setelah makan muntah hantu - Badang telah beroleh kekuatan
dan kegagahan yang sangat luar biasa setelah memakan muntah hantu yang mencuri
hasil tangkapannya. Kegagahan Badang yang luar biasa itu telah membolehkan dia
mencabut pokok-pokok kayu Yang besar dengan akarnya sekali dan hal ini
menggembirakan majikannya kerana ladangnya telah dapat dibersihkan dalam masa
yang singkat.
2. Peristiwa ikan
todak menyerang Singapura - peristiwa ini berlaku semasa Singapura diperintah
oleh Paduka Seri Maharaja. Banyak rakyat negeri itu yang mati ditikam oleh ikan
todak yang mampu melompat hingga ke pantai. Untuk mengatasi serangan tersebut,
Paduka Seri Maharaja telah memerintahkan rakyatnya berkubukan betis tetapi
perintah itu lebih banyak menyebabkan kematian dan kecederaan kepada rakyat
yang terlibat. Akhirnya, serangan ikan todak itu dapat diatasi melalui
kebijaksanaan seorang budak yang menyarankan penggunaan batang pisang sebagai
kubu. serangan ikan todak tersebut ada kaitannya dengan pembunuhan Tuan Jana
Khatib yang "mahir akan ilmu khayal lillah lagi tamam dua belas".
3. Peristiwa Sang
Rajuna Tapa menjadi batu - peristiwa ini menimpa Sang Rajuna Tapa kerana dia
telah mengkhianati Raja Iskandar Syah. Pengkhianatan itu dilakukannya selepas
Raja Iskandar membunuh anak perempuannya dengan cara yang sangat memalukan
dirinya. Untuk membalas perbuatan Raja Iskandar Syah itu, dia telah
bersekongkol dengan Majapahit yang menyebabkan Singapura jatuh ke tangan kuasa
besar itu.
KEPENTINGAN MITOS
Penerapan mitos
dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ini mempunyai matlamat dan
kepentingannya yang tersendiri dan khusus, sesuai dengan zaman teks ini
dihasilkan. Di pihak pemerintah, peristiwa yang berunsur mitos itu secara
umumnya dapat meningkatkan darjat dan kedaulatan mereka. Di pihak hamba rakyat
pula, unsur mitos tersebut dapat mendidik serta meyakinkan mereka tentang
kehebatan dan kedaulatan raja serta perkara-perkara yang berkaitan dengan
institusi beraja. Kepentingan mitos dalam penulisan teks Sulalatus Salatin
Sejarah Melayu ini dapat dijelaskan seperti yang berikut:
1. Menunjukkan
Keagungan Keturunan Raja
Iskandar
Zulkarnain berbangsa Rom dan berasal dari Makaduniah. Sebagaimana yang tercatat dalam sejarah,
beliau merupakan seorang raja yang agung dan penakluk dunia yang
terbilang. Berdasarkan Sulalatus Salatin
Sejarah Melayu, raja-raja Melayu dikatakan berasal daripada keturunan beliau
walaupun menurut Sejarah, Iskandar Zul-Karnain (Alexander The Great) tidak
pernah menakluki India. Oleh itu, mitos yang mengaitkan raja-raja Melayu
bersusur galur daripada keturunan Iskandar Zul-Karnain itu mempunyai
kepentingannya yang tersendiri, iaitu untuk mengangkat darjat raja-raja Melayu
ke tahap yang tinggi, yakni memiliki ciri-ciri kepahlawanan, kehebatan, dan
keagungan, sama seperti yang dimiliki oleh datuk nenek mereka yang bernama
Iskandar Zul-Karnain itu.
Menunjukkan Sifat
Luar Biasa Raja
Salah satu mitos
yang terdapat dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu adalah tentang
pengembaraan Raja Suran ke dasar laut. Baginda dikatakan telah tiba di sebuah
negeri yang bernama Dika dan seterusnya berkahwin dan hidup di negeri itu. Hal
ini memang di luar mats fikir manusia dan melampaui hukum alam, namun penerapan
mitos yang sedemikian ada kepentingannya. Penerapan unsur tersebut adalah untuk
menggambarkan bahawa raja-raja Melayu sangat luar biasa dan berbeza daripada
manusia biasa dan oleh itu, merekalah yang layak memimpin manusia lain.
2. Menyindir atau
Mengkritik Raja
Mitos lain yang
terdapat dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ialah serangan ikan todak
terhadap Singapura. Penerapan mitos ini bertujuan untuk menyindir atau
mengkritik golongan raja atau pembesar yang menzalimi rakyat. Mitos itu juga
bertujuan untuk menyedarkan raja dan pemerintah bahawa setiap hamba rakyat,
tidak kira sekecil mana pun mereka itu, perlu dihormati dan disayangi kerana
mereka mempunyai kelebihan masing-masing. Jelas dalam hal ini, budak yang
menyarankan rakyat Singapura menggunakan batang pisang sebagai kubu untuk meredakan
serangan todak, mempunyai kelebihannya walaupun masih kecil.
3. Mendidik dan
Menakutkan Rakyat
Sesetengah mitos
dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ini sengaja diterapkan bagi
mendidik rakyat supaya senantiasa menghormati dan mentaati raja sebagaimana
yang dipersetujui dalam waad antara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana
dahulu. Dalam hal ini, mitos yang memaparkan Sang Rajuna Tapa menjadi batu
setelah mengkhianati Sultan Iskandar Syah menunjukkan bahawa sumpahan Seri Teri
Buana yang mengatakan bahawa rakyat yang derhaka akan "dibalikkan Allah
bumbungan rumahnya ke bawah kaki ke atas" menjadi kenyataan. Peristiwa itu
juga dapat menimbulkan rasa gerun di hati rakyat supaya tidak mengkhianati waad
tersebut.
4. Mempelbagaikan
Kaedah/Teknik Penulisan
Penerapan unsur
mitos dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu juga bertujuan untuk
mewujudkan variasi dalam stail penulisannya. Penerapan itu juga memperlihatkan
kekreatifan pengarang dalam usaha hendak menarik hati para pembaca
Tiada ulasan:
Catat Ulasan