Khamis, 31 Mei 2018

TEKNIK PENULISAN



Teknik penceritaan merupakan keseluruhan cara pengarang melahirkan atau mengendalikan keseluruhan struktur kesusasteraan, termasuk penyusunan plot, penyelenggaraan perwatakan, penggunaan latar yang sebagainya. Manakala, “style” atau gaya Bahasa pula ialah kecenderungan untuk melihat jalinan cerita yang bersangkut-paut dengan pemilihan ayat atau diksi, atau imajan dan lain-lain (Mohd. Thani Ahmad, Kesusasteraan, diselenggarakan oleh Baharuddin Zainal, DBP, 1986, hal.23)
Mengenai teknik penulisan Sulalatus Salatin, Abu Hasan Sham berpendapat bahawa, “Pengarang Sulalatus Salatin itu seorang yang bijak dan mempunyai pengetahuan yang luas. Tetapi lebih daripada itu ia juga seorang seniman (literary artist) yang dapat melukiskan segala kisah dan gambaran masyarakat Melaka dengan hidup dan indah sekali” (Abu Hasan Sham, Beberapa aspek dari Sejarah Melayu, U.M,1977).
Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ditulis dengan tujuan untuk mengangkat kedudukan dan sejarah silam raja-raja Melaka. Selain itu ia dihasilkan untuk mengangungkan kebesaran dan kecemerlangan raja-raja dan kerajaan Melaka. Tujuan seterusnya ialah untuk menggambarkan kebesaran sebuah dinasti raja-raja Melayu yang bermula dari zaman Raja Iskandar Syah di awal abad ke-15 hinggalah zaman pemerintahan Sultan Alau'd-Din Riayat Syah III di awal abad ke-17. Sulalatus Salatin juga dihasilkan untuk kegunaan istana (istana centric) dan kegunaan orang-orang bangsawan Melayu sebagai rujukan pada masa akan datang. Sulalatus Salatin juga dijadikan satu wadah merakamkan kebesaran, ketinggian dan kegemilangan sesebuah negara kota atau kerajaan Melayu seperti kerajaan Pasai, dan Singapura selain Melaka. Selain itu untuk  memperlihatkan kepada bangsa lain akan kebesaran bangsa Melayu itu sendiri.
C.C.Brown pula berpendapat, “pengarang Sulalatus Salatin dapat menceritakan sesuatu episode itu dengan nyata sekali. Kadang-kadang gambaran yang diceritakan itu amat romantis, gambaran-gambaran yang menyayat hati tidak ketinggalan dimasukkan. Di sana sini diselitkan babak-babak lucu”. (Pendahuluan Sejarah Melayu or Malay Annals, O.U.P, 1970)
Dari segi teknik penceritaan, Pengarang Sulalatus Salatin menggunakan teknik:
A.               Teknik Penceritaan Secara Langsung Oleh Pengarang Atau Teknik Diskriptif.
Teknik penceritaan secara langsung merujuk kepada “wacana atau gambaran yang begitu terperinci supaya pembaca atau pendengar melihat, mendengar, merasa atau menghidu dengabn berkesan sekurang-kurangnya melalui imaginasinya.” (Hashim Awang, Glosari Mini Kesusasteraan, Fajar Bakti, 1987, hal.13).
Pengarang akan menceritakan atau memberitahu pembaca tentang segala sesuatu mengenai peristiwa yang diceritakan. Dengan lain perkataan, pengarang mahu pembaca mengetahui daripada pengarang sendiri. Contoh pemerian pengarang menggunakan teknik ini terdapat hampir keseluruhan muka surat dalam teks Sulalatus Salatin. Beberapa contoh misalnya,
      Setelah Raja Gangga Syah Johan melihat Raja Suran itu datang, maka Raja Gangga Syah Johan pun berdiri memegang panahnya; maka segera  dipanahnya, kena gumba hajah Raja Suran, gajah itu jatuh terjerumus. Maka Raja Suran pun melompat serta menghunus pedangnya, diparangkan kepada Raja Gangga Syah Johan, maka kenalah lehernya, putus kepalanya terpelanting ke tanah. Maka Raja Gangga Syah Johan pun matilah. Setelah rakyat Gangga Negara melihat rajanya mati itu, maka sekaliannya pun lari; maka…….”
                        (Sulalatus Salatin, 1968, hal.11)

B.   Teknik Penceritaan Secara Tidak Langsung
Teknik ini termasuklah penggunaan teknik yang biasa kita temui dalam karya-karya genre sastera Melayu moden. Dalam teks Sulalatus Salatin, selain teknik penceritaan secara langsung, pengarang juga memberi peluang kepada pembaca memikirkan sendiri mengenai;
Peristiwa-peristiwa yang diceritakan serta implikasi yang timbul daripada peristiwa tersebut. Melalui sifat-sifat watak sama ada melalui dialog watak,  melalui monolog atau monolog dalaman. Pembaca juga dibiarkan menilai tentang unsur-unsur tertentu yang terselit disebalik dialog watak yang terlibat, kata-kata wasiat yang ditinggalkan, melalui isi kandungan surat kirimaan kepada raja negeri-negeri tertentu dan sebagainya.

C.   Teknik Dialog
Pengarang Sulalatus Salatin banyak menggunakan dialog dalam penceritaan untuk menghidupkan cerita. Penggunaan teknik ini banyak digunakan ketika menghadap raja, raja mengeluarkan perintah, rakyat mempersembahkan sesuatu kepada raja, percakapan atau perbualan antara pembesar atau antara raja dengan seseorang, pendebatan yang berbentuk sindiran, ketika memaki seseorang, membuat aduan dan lain-lain. Pemakaian teknik dialog dapat menghidupkan lagi jalan cerita. Beberapa contoh dialog misalnya;
         Maka titah baginda; Maukah Seri Nara Diraja atau Tun Bulan, anak Orang Kaya Hitam? Maka sembah Seri Nara Diraja, “Mohon tuanku.” Maka baginda bertitah pula, “Maukah akan Tun Ratna Sandari, saudara sepupu kepada Paduka Raja? “Maka sembah Seri Nara Diraja, “Mohon tuanku.” Maka titah Sultan Muzaffar Syah, “Maukah akan Tun Gemala, saudara Bendahara Seri Wak Raja?”
                            (Sulalatus Salatin, 1968, hal.93)

D.  Teknik Monolog
Monolog ialah percakapan panjang yang dituturkan oleh seorang watak samada ditujukan kepada dirinya sendiri atau kepada pembaca. contoh pemakaian teknikini dalam teks ialah;
        "Maka Raja Kasim pun naiklah ke darat serta ia fakir akan kata-kata Maulana itu dalam hatinya, “kepada siapa aku minta tolong ini? Jika demikian baik aku pergi kepada Seri Nara Diraja kerana ia kasih akn aku; kalau-kalau mau ia menolong aku. Setelah demikian fikirnya, maka Raja Kasim pun pergilah kepda Seri Nara Diraja”.
                                (Sulalatus Salatin, hal.85)

E.   Teknik Monolog Dalaman
Maksud teknik monolog dalaman ialah “berkata-kata dalam hati”. Kata-kata ini tidak dikeluarkan atau diucapkan (disuarakan). Monolog dalaman mengungkap fikiran, emosi dan pengalaman batin seseorang watak. contohnya:
         “setelah Sultan Mahmud mendengar kata Seri Bija Diraja itu, baginda diam; pada hati baginda, “Tiada suka Seri Bija Diraja bertuankan aku.”
                                     (Sulalatus Salatin, hal.187)

F.   Teknik Penceritaan Melalui Surat (Teknik Surat)
Isi cerita Sulalatus Salatin disampaikan melalui surat kiriman. Ini termasuklah surat-surat yang dibawa oleh utusan Melaka ke negeri-negeri lain atau surat daripada neggeri lain ke Melaka. Isi kandungan surat ini dibaca di balai penghadapan. Pada kebiasaannya surat kerajaan Melaka yang akan dibawa oleh utusan ditulis oleh Bendahara. contoh:
Surat Raja China kepada Raja Melaka; “Telah datang ke balairung, maka disambut oleh betara diberikan kepada khatib, maka dibaca oleh khatib demikian bunyinya:
         “surat dibawah cerpu Raja langit, datang ke atas mahkota Raja Melaka. Kita dengar Raja Melaka raja besar, sebab itulah maka kita hendak bersahabat dan berkasih-kasihan dengan Raja Melaka, kerana kita pun daripada anak cucu Raja ISKANDAR Zul-Karnain, sebangsa juga dengan raja Melaka, kerana tiadalah ada dalam alam dunia ini raja-raja yang besar daripada kita. Tiada siapa pun tahu akan bilangan rakyat kita; maka daripada sebuah rumah sebilah jarum kita pintak. itulah jarumnya sarat sebuah pilai kita kirimkan ke Melaka.”
                            (Sulalatus Salatin, hal.131)



G.  Teknik Penceritaan Melalui Wasiat (Teknik Wasiat)
Wasiat pesanan adalah berbentuk kata-kata yang berbeza dengan dialog biasa kerana kata-kata berupa wasiat mempunyai ciri-ciri yang tersendiri iaitu mengandungi unsur-unsur didaktik yang amat tinggi nilai pengajaran dan pendidikannya. Wasiat juag menunjukkan hubungan yang lebih harmonis antara golongan raja (pemerintah) dengan golongan rakyat.
    Wasiat biasanya ditinggal oleh seseorang raja atau pembesar negeri (Bendahara misalnya) sewaktu gering (sakit tenat) atau sewaktu hamper menemui ajal. contoh wasiat Sultan Mahmud Syah kepada anaknya;
      “Hei anakku, cahaya mataku, buah hatiku, engkau kerajaan, sangat sabarmu; dan barang suatu bicaramu jangan meninggalkan Bendahara dan sekalian menteri hulubalangmu; sangat-sangat adil saksama pada barang hukum atas bala tenteramu. Jangan engkau dengar-dengaran sembah orang tiada dengan sebenarnya; sangat-sangat ampun pperiksamu akan mereka itu sekalian, akan ia bernaung kepada keadilan dan kemurahanmu; dan jangan engkau taksir daripada menahafus dan memeriksai atas rakyatmu, supaya sentosa kerajaanmu.”
                            (Sulalatus Salatin, hal.288)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

versi sejarah melayu

        Mitos Mitos adalah suatu unsur dongeng atau sesuatu kejadian yang luar biasa yang tidak dapat diterima oleh logic akla manusia t...