Raja Cempa Dan Zuriatnya.
Raja Campa telah memperolehi
seorang budak dari mayang pinang dan diberi nama Pau Gelang. Dia dikahwinkan
dengan Pau Bania. Pau Gama dari keturunanannya telah datang mengadap ke
Majapahit. Dia dikahwinkan dengan Raden Galuh Ajeng. Anaknya dinamakan Raja
Jakanak. Pada masa Pau Cin memerintah telah berlaku perang antara Cempa dengan
Kuci. Raja Kuci telah merasuah Penghulu Bendahari menyebabkan Cempa dapat
dikalahkan. Dua orang anak raja Cempa iaitu Syah Indera Berma dan
Syah Pau Ling telah pergi ke Melaka dan Aceh. Syah Indera Berma telah memeluk
agama Islam. Dia dijadikan menteri di Melaka oleh Sultan Mansur Syah.
Gema Peristiwa Rampas Kuasa Di
Pasai.
Pemerintah Pasai bernama Sultan
Zainal Abidin. Saudaranya telah merampas kuasa. Dia lari ke Melaka. Sultan
telah menyuruh Bendahara Paduka Raja, Seri Bija Diraja dan Laksamana serta 2
laksa tentera pergi merajakan semula Sultan Zainal Abidin. Setelah beberapa
kali perang, Sultan Zainul Abidin berjaya ditabalkan semula. Dia enggan menyembah
ke Melaka. Belumpun angkatan Melaka sampai ke Melaka , sultan itu berjaya
dikalahkan semula. Laksamana cadangkan supaya angkata berpatah balik untuk
merajakan semula Sultan Zainal abidin tetapi Bendahara enggan. Bila
kembali ke Melaka, Bendahara telah dimurkai Sultan.
Bila ditanya Sultan, Laksamana
telah menyatakan keburukan Bendahara semasa di Pasai sedangkan bila Bendahara
dipanggil, dia telah memuji-muji laksamana. Ini menyebabkan laksamana malu
sendiri. Dia segera pergi ke rumah bendahara dan menyembah, meniarap di kaki
bendahara.
Wasiat Sultan Mansur Syah.
Hasrat Sultan Mansur Syah mahu
melantik Raden Kelang, anakanda baginda dengan Raden Galuh Cendera Kirana
menggantikannya, Malangnya Raden Kelang mati terbunuh oleh orang mengamuk.
Paduka Mimat, anakanda baginda dengan Puteri Hang Liu juga sudah meninggal.
Saudaranya Paduka Seri Cina dirajakan di Jeram, hampir Langat. Bila SMS hampir
meninggal dia mewasiatkan agar Raja Ahmad atau nama timangannya Raja Hussain
dilantik menjadi sultan. Pesan baginda pada Raja Hussain
1. Dunia tidak kekal, setiap yang
hidup akan mati.
2. Iman yang sempurna dan pekerti
yang baik akan kekal disebut orang.
3. Hendaklah adil.
4. Jangan mengambil hak orang tanpa
izin.
5. Jangan lalai dari tugas (dihadap
orang).
6. Setiap kesukaran atau kesakitan
hendaklah ditolong.
7. Setiap yang teraniaya disiasat.
8. Muafakat dengan menteri dan
orang besar.
9. Patuh pada wasiat supaya dapat
berkat.
Pemerintahan Sultan Alau’d-Din
Riayat Syah.
Sultan Alauddin beristeri dua
orang. Isteri pertama ada 2 anak iaitu Raja Menawar dan Raja Zainal. Isteri
kedua ada 3 anak iaitu Raja Hitam, Raja Muhammad dan Raja Zainal.Dalam negeri
banyak berlaku kes kecurian. Bagi mengatasi masalah, baginda sendiri telah
keluar meronda bersama Hang Isap dan Hang Ishak, penjawat sirih santap baginda.
Terjumpalah dengan 5 orang pencuri sedang mengusung peti. Diusirnya pencuri
itu. Dia berjaya membunuh 2 orang dan Hang Isap membunuh seorang, 2 orang lagi
berjaya melarikan diri. Setelah itu ia kembali ke istana.
Langkah Membasmi Pencuri.
Setelah Temenggung mendengar Sultan
sendiri keluar meronda bersama Hang Isap dan Hang Ishak, dia mulai mengeraskan
kawalan. Sesiapa yang dijumpai berjalan malam dibunuhnya. Membuatkan pencurian
berjaya dibenteras. Sebuah balai dibina di simpang empat di tengah negeri.
Seorang penghulu ditugaskan berkawal di situ. Sesiapa yang menjumpai harta
orang hendaklah dipulangkan kalau tidak tangannya akan dikerat. Setiap barang
yang dijumpai dihantarkan ke balai.
Akibat Salam Dibacakan Sembah.
Maharaja Diraja, raja
Haru telah mengutuskan Raja Pahlawan ke Pasai. Surat Maharaja Diraja
yang berkirim salam dikatakan berkirim sembah oleh khatib yang
bertugas. Bila teguran tidak diendahkan, Raja Pahlawan telah
mengamuk. Ramai rakyat Pasai terbunuh. Raja Pahlawan dan rombongannya juga
ramai terbunuh. Mulai kes itu, Haru bermusuhan dengan Pasai.
Maharaja Diraja telah menyuruh
pahlawannya yang bernama Seri Indera mengamuk dalam jajahan Pasai. Seri Indera
terlanjur hingga ke jajahan Melaka. Sultan Alaudin telah menitahkan Paduka
Tuan, Laksamana Hang Tuah dan Seri Bija Diraja menyekat amukan Haru. Orang Haru
kalah dan mengundurkan diri.
Mia Ruzul Dengan Kambing Randuk.
Mia Ruzul adalah seorang keling
yang turut serta dalam angkatan perang Melaka. Dia telah ke darat untuk buang
air besar. Terpandangkan seekor kambing disangkanya orang tua Haru yang
mengintainya. Bila disergah kambing itu melawan, akibatnya Mia Ruzul lari
lintang pukang. Bila disiasat ternyata hanyalah seekor kambing. Semua orang
ketawa dan marahkan Miz Ruzul.
Peperangan berlaku lagi antara
orang Melaka dengan orang Haru di Pengkalan Dungun. Orang Haru telah minta
diadakan perdamaian dan diterima oleh Paduka Tuan. Tidak lama selepas kembali
ke Melaka, Seri Bija Diraja telah meninggal dunia dan dia digantikan oleh
anaknya T un Kerunta. Juga bergelar Seri Bija Diraja. Seorang lagi anaknya
bergelar Tun Bija Diraja.
Ketiganya Sama Gagah.
Raja Maluku telah lari ke Melaka
bila negerinya dikalahkan oleh Kastilan. Dia sangat pandai bermain sepak raga.
Ditimangnya 100 – 200 kali barulah diberikan kepada orang lain. Dia juga sangat
gagah, Umbi pokok kelapa diparangnya hingga putus. Begitu juga Telanai
Terengganu dan Sultan Alaudin. Telanai Terengganu melembing pokok kelapa tembus
ke sebelah. Sultan Alaudin pula gagah memanah. Telanai Terengganu
yang pergi mengadap ke Melaka tanpa memberitahu ke Pahang telah menimbulkan
kemurkaan Sultan Muhammad (Pahang). Baginda telah mengarahkan Seri Akar Diraja
pergi membunuh Telanai Terengganu. Telanai Terengganu mati terbunuh, anak-anak
cucunya habis lari ke Melaka. Sultan Melaka pada mulanya ingin menyerang Pahang
tetapi atas nasihat Bendahara, Laksamana Hang Tuah sahaja dihantar ke sana.
Gema Pembunuhan Telanai
Terengganu.
Di Pahang, Hang Tuah telah menyuruh
orangnya membunuh saudara sepupu Seri Akar Diraja. Bila orang yang membunuh itu
ditangkap, Hang Tuah tidak membenarkan diambil sebarang tindakan kerana
katanya, Seri Akar Diraja juga ada salahnya dengan Sultan Melaka iaitu membunuh
Telanai Terengganu tanpa memberitahu ke Melaka. Sultan Muhammad mengatakan
Telanai Terengganu dibunuh kerana katanya Telanai Terengganu biadab dengan
mengatakan negeri Melaka itu terletak di bawah kelangkangannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan