Isnin, 28 Mei 2018

UNSUR SEJARAH DALAM SULALATUS SALATIN


UNSUR-UNSUR SEJARAH DALAM SULALATUS SALATIN
Sastera sejarah merupakan satu cabang daripada kesusasteraan Melayu lama yang membicarakan tentang sejarah berbagai-bagai tempat dan kerajaan di Alam Melayu. Bentuk sastera sejarah terbahagi kepada dua iaitu bentuk sastera sejarah yang bercorak prosa dan puisi (Dr. Ismail Hamid, 1988:196). Karya yang berbentuk prosa itu merupakan riwayat sejarah sebuah kerajaan atau negeri yang memakan masa sehingga beberapa abad, sementara sastera sejarah yang berbentuk puisi pula hanya mengisahkan peristiwa bersejarah yang berlaku dalam waktu-waktu tertentu sahaja. Walau bagaimanapun, Sejarah Melayu turut menggarapkan sedikit unsur puisi didalamnya yang berbentuk pantun.

SALASILAH RAJA-RAJA MELAYU
Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin turut dikenali sebagai peraturan segala raja-raja. Karya ini turut menceritakan tentang salasilah Raja-Raja Melayu Melaka. Menurut seorang sarjana Inggeris Roolvink, Sejarah Melayu ini asalnya dari Sulalatul Salatin yang bermakna salasilah raja-raja. Berdasarkan kenyataan ini, Sulalatul Salatin itu dahulunya merupakan daftar keturunan raja-raja yang lengkap dengan tarikh lahir, ditabalkan dan mangkatnya (Muhd Mansur Abdullah, 1988:198).
Sultan Muzaffar Syah yang telah memerintah lebih kurang tiga belas tahun. Baginda mangkat pada tahun 1459M dan telah digantikan oleh putera sulung baginda yang bernama Raja Ibrahim. Antara sebab pengarang mengaitkan keturunan raja-raja Melayu Melaka dengan Raja Iskandar Zulkarnain kerana beliau merupakan tokoh lagenda dan sejarah serta dikaitkan dengan agama Islam. Walau bagaimanapun, keturunan raja-raja Melayu Melaka adalah satu fakta sejarah walaupun disaluti dengan unsur-unsur mitos.  


 NAMA-NAMA TEMPAT
Unsur-unsur sejarah nama tempat turut terdapat di dalam karya Sejarah Melayu. Nama tempat yang dikarangkan oleh Tun Seri Lanang nyata wujud sehingga ke hari ini. Negeri-negeri yang menjadi tumpuan perbincangan Tun Seri Lanang itu sejajar dengan kedudukan raja-raja berasal dari pahlawan dan yang berdaulat. Sejarah Melayu menceritakan tentang pembukaan tempat atau negeri seperti Melaka, Pasai dan Singapura.

Di dalam cerita berhubung pembukaan negeri Pasai, nama samudera dikisahkan lahirnya daripada kewujudan semut yang amat besar. Yusoff Iskandar mengatakan peristiwa pemberian nama Pasai dari nama seekor anjing, Si Pasai dan terjumpanya seekor semut besar (samudera) di mana tempat tersebut di panggil Samudera kemudiannya.

Di dalam Sejarah Melayu juga, Temasik telah digantikan namanya menjadi Singapura berdasarkan kepada nama binatang singa yang amat gagah tubuhnya yang dilihat oleh Sanh Nila Utama. Namun, menurut Hsu Tun Tsio tentang asal usul Singapura dinamakan, adalah kerana terlihatnya seekor yang maha tangkas lakunya, merah warna tubuhnya, hitam kepalanya, dan putih dadanya, dan sikapnya terlalu pantas dan perkasa, besar sedikit daripada kambing randok, kononnya ia adalah binatang singa, maka dinamakanlah tempat itu sebagai Kota Singa.

Akan tetapi, bukan sahaja di Singapura, tetapi di seluruh alam Tanah Melayu, tidak pernah terdapat binatang singa (Zahrah Ibrahim, 1986:52). Katanya lagi, kebanyakkan tempat-tempat yang menggunakan binatang singa sebagai namanya ialah kebanyakan yang terdiri daripada pulau-pulau. Manakala, Melaka pula mengambil nama sempena kejadian pelanduk menedang anjing buruan dan secara kebetulan pohon tempat Raja Iskandar berteduh itu bernama Melaka.

‘Titah baginda “Baik tempat ini diperbuat negeri, anjing alah pada pelanduk; jikalau orangnya betapa lagi?” maka sembah segala Orang Besar-Besar, “benarlah seperti titah Duli Tuanku itu.” Maka disuruh baginda tebas, diperbuat negeri. Maka titah Baginda “apa nama kayu itu?” Makasembah orang, “kayu Melaka namanya, Tuanku,” Maka titah Raja Iskandar Syah,”jika demikian,“Melakalah nama negeri ini?’
(Sulalatus Salatin/ Sejarah Melayu, 1996: hlm. 71)


TOKOH BERSEJARAH
Sejarah Melayu mempunyai watak-watak yang merupakan tokoh sejarah. Hal ini dapat dibuktikan dengan melihat pada asal usul keturunan raja-raja Melaka. Pada dasarnya, menurut beberapa orang sarjana sejarah dan sastera, unsur-unsur lagenda yang digunakan berhubungan dengan asa usul keturunan raja-raja Melaka ini dibina dari fakta sejarah yang sebenarnya. Menurut Yusoff Iskandar dalam buku yang diselenggarakan oleh Zahrah Ibrahim, Raja Iskandar Zulkarnain adalah watak dan tokoh bersejarah sebenar Iskandar Agung (Alexendar The Great) dari negeri Mekadonia (Babylon).

Baginda dikatakan pernah menakluk seluruh Asia Tengah dan Timur Tengah hingga ke Utara India. Raja Suran sebenarnya adalah tokoh bersejarah Raja Rajendra Chola iaitu seorang raja dari Selatan India yang dibuktikan oleh sebuah batu bersurat di Tanjore, India yang pernah menakluk beberapa daerah persisir pantai Semenanju8ng Tanah Melayu hingga ke Selatan ke arah Genggayu yang sekarannya dipercayai sebagai Hulu Sungai Johor sekarang, lalu mengalahkan Empayar Srivijaya di sekitar abad ke-11 dan 12 Masihi.

Kedua-dua tokoh politik dan penakluk agung dalam sejarah awal rantau ini dijadikan satu bentuk cerita tokoh legenda pada bahagian pendahuluan Sejarah Melayu, tujuannya untuk mengatakan bahawa raja-raja Melayu merupakan nasab keturunan dari Iskandar Zulkarnain, tokoh legenda Islam dan Raja Chola, sebagai tokoh legenda Hindu. Perkara-perkara seperti ini sengaja dimasukkan sebagai alat dan cereka untuk memperkenalkan raja-raja Melaka dan dari mana asa- usul mereka.


SEJARAH ADAT ISTIADAT DAN KEBUDAYAAN
Kebudayaan masyarakat Melayu turut digambarkan oleh pengarang Sejarah Melayu sebagai pengetahuan kita. Gambaran tentang adat istiadat istana dan masyarakat Melayu purba di Melaka seperti pantang larang di istana, adat memakai pakaian kuning, adat menyambut bulan Ramadhan dan lain-lain. Terdapat beberapa adat antaranya adalah adat yang sebenar-benar adat iaitu adat yang betul-betul berteraskan islam itu sendiri, tetapi sebelum kedatangan islam banyak dipengaruhi oleh hindu dan budha, namun apabila islam telah timbul, maka apa yang bertentangan dengan islam diketepikan.

Yang kedua adalah adat yang diiadatkan iaitu adat yang berteraskan adat yang sebenar-benar adat. Yang ketiga adalah adat yang teradat iaitu adat yang dicipta oleh pemimpin itu sendiri iaitu raja. Seterusnya, adat istiadat iaitu peraturan-peraturan yang biasa dilakukan setiap hari, setiap ketika yang ada dalam istana dan luar istana. Akhir sekali ialah adat resam iaitu adat yang diamalkan oleh masyarakat tersebut.

Justeru mengenai adat menderhaka kepada raja yang pasti dihukum bunuh.  Muhd Mansur Abdullah mengungkap perkara ini dengan mengupas naskhah W.G Shellabear dalam cerita ke 14, 15 dan 16 tentang cerita mengenai Hang Tuah dan pengkhianatan Hang Kasturi. Kisah akhir dalam bab ini yang mengisahkan kejayaan Hang Tuah yang Cuma disorokkan oleh Bendahara di hulu Melaka, membunuh Hang Hasturi yang dianggap penderhaka kepada raja (Muhd Mansur Abdullah, 1988:203).

Hubungan individu dalam kalangan masyarakat turut digambarkan oleh pengarang. Rasa hormat-menghormati juga terdapat dalam kalangan mereka. Seorang rakyat biasa umpamanya tetap mematuhi perintah ketua atau pembesar di atasnya. Hal ini digambarkan tatkala mengetahui bahawa Bendahara Tun Mutahir akan dibunuh oleh Sultan Mahmud Syah, pengikut-pengikut beliau cuba menentang pembunuhan ini. Tetapi penentangan tersebur dilarang oleh Tun Mutahir kerana perbuatan itu disifatkan oleh beliau sebagai menderhaka kepada Sultan. Pengikut-pengikut ini kemudiannya tidak jadi menentang.

Selain itu, seorang ulama juga sangat dihormati sehingga sultan Melaka sendiri menghormatinya. Hal ini berlaku apabila guru baginda Sultan Mahmud Syah iaitu Maulana Yusoff enggan membenarkan baginda mengadap guru tersebut dengan menunggang gajah, dan akhirnya baginda mematuhi kehendaknya.

Masyarakat Melayu begitu kaya dengan budaya dan budi bahasanya. Hal ini digambarkan oleh Tun Seri Lanang di dalam Sejarah Melayu. Adat Istiadat diraja juga dikarang oleh Tun Seri Lanang bagi memperlihatkan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Oleh hal yang demikian, Sejarah kebudayaan masyarakat Melayu turut dipaparkan di dalam Sejarah Melayu bagi tatapan masyarakat dewasa ini.



HUBUNGAN DIPLOMATIK
Melaka merupakan pusat tumpuan pedagang-pedagang yang melalui Selat Melaka. Melaka adalah pusat perdagangan utama pada ketika itu dan barang dagangan yang paling utama adalah rempah ratus. Antara pedagang-pedagang yang berdagang di pelabuhan Melaka adalah seperti pedagang Arab, China, Siam, Jawa,dan lain-lain. Oleh itu, untuk mengukuhkan Melaka sebagai pelabuhan utama di Selat Melaka, kerajaan Melaka ketika itu turut menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara ini.

Selain itu, Sanusi bin Ahmad mengatakan Melaka turut menjalinkan hubungan diplomatik dengan negeri-negeri lain seperti Terengganu, Kelang, Beruas, Pahang, Sulawesi dan Kampar. Kebanyakan negara-negara ini menghantar ufti sebagai tanda mengakui kedaulatan kerajaan Melaka dan ada juga negeri yang menghantar ufti sebagai tanda negeri tersebut di bawah jajahan takluk kerajaan Melaka (Zahrah Ibrahim, 1986:70). Contohnya kerajaan Siam telah menganugerahkan seorang puteri yang bernama Onang Minang Lang kepada Tun Telanai yang dihantar oleh Sultan Mansor Syah sebagai utusan untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan Siam. Penganugerahan ini diberi kerana Tun Telanai dan rombongannya telah Berjaya menolong Raja Siam mengalahkan negeri jirannya .Sebagai balasan kepada kerajaan Melaka, Raja Siam membalas utusan Melaka dengan mengirim surat dan hadiah tanda persahabatan.

Jalinan hubungan diplomatik kerajaan Melaka dengan Negara China merupakan hubungan diplomatik yang paling penting. Hubungan ini kekal hingga ke hari ini. Hubungan kerajaan Melaka dengan kerajaan China bermula setelah kerajaan China menghantar utusan ke Melaka dengan membawa bingkisan jarum sarat sebuah pilau (kapal) untuk menunjukkan bilangan penduduk China yang ramai.

Selain itu dikirimkan juga beberapa barang berharga yang luar biasa. Hubungan diplomatik kerajaan Melaka dengan negara-negara tersebut adalah untuk kepentingan kedudukan dan kedaulatan kerajaan Melaka. Oleh kerana itulah mereka perlu menghantar ufti sebagai tanda kedaulatan kerajaan Melaka. Terdapat juga sesetengah negeri ini adalah jajahan takluk kerajaan Melaka seperti Pahang. Dengan hubungan diplomatik ini juga dapat mewujudkan hubungan perdagangan seperti China yang sehingga hari ini adalah rakan dagangan Malaysia yang penting.


10 ulasan:

  1. Terima kasih atas perkongsian ilmu. Moga terus sukses

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sama-sama. Terima kasih juga kerana sudi singgaj di blog ini.

      Padam
  2. informasi yg sngt brguna, terima kasih

    BalasPadam
  3. blog yang amat menarik. Terima kasih dengan adanya blog sebegini saya yakin para pelajar akan mudah memahami .

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah terima kasih kerana sudi melawati blog kami. Semoga bermanfaat juga

      Padam
  4. isi yang cukup jelas dan mudah difahami, good job!

    BalasPadam
  5. terima kasih terhadap perkongsian ilmu

    BalasPadam
    Balasan
    1. terima kasih atas kunjungan anda ke blog ini. semoga allah merahmatimu sentiasa

      Padam

versi sejarah melayu

        Mitos Mitos adalah suatu unsur dongeng atau sesuatu kejadian yang luar biasa yang tidak dapat diterima oleh logic akla manusia t...